Monday, December 20, 2010

Habib Al-Najjar dengan munajatnya - cerita orang soleh

   Dikisahkan, bahawasanya Habib An-Najjar adalah tergolong diantara wali-wali Allah terulung. dia selalu memenuhi malamnya dengan bersolat, sedang siangnya pula dengan berpuasa. Al-hasil, dia mengahbiskan semua masanya semata-mata untuk berkhidmat kepada Tuhan Rabbul-jalil.

   Setiap malam dia sentiasa bermunajat kepada Tuhannya dengan ucapan-ucapan yang merendah diri, penuh tawadhuk serta berdoa:
"Ya Tuhan! Hamba sentiasa terseret kepada kelalaian, terbius kepada nafsu!
"Ya Tuhan! Hamba selalu dalam kerendahan dan selalu menempuh jalan kesesatan dan kecelakaan.
"Ya Tuhan! Tiada pegangan bagi hamba selain kepada hadhrat Tuan, hamba tidak mengenal pintu selain milik Tuan, hamba datang mengetuk pintu itu, inilah hamba yang penuh berlumuran dosa bersimpuh di pintu Tuan untuk merasakan nikmat berdekatan dengan Tuan!
"Ya Tuhan! Ampunilah hamba, dan alangkah celakanya diri hamba, sekiranya Tuan tidak berkenan mengampuni hamba serta tidak menerima segala kekurangan hamba, maka alangkah sialnya diri hamba ini!"

Kemudian dia pun bersujud sehingga menjelang subuh. Setelah solat Subuh, dia pun membaca Al-Quran sampai khatam. Saat dia wafat, dia membaca ayat ini:
Maksudnya: 'Sesungguhnya hamba selalu dalam kesesatan yang nyata.' (Yasin: 24)

Maksudnya: 'Sesungguhnya hamba beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarkanlah perkataanku ini!' (Yasin: 25)

Lalu kedua Malaikat pun menjawab: 

Maksudnya: 'Masuklah engkau ke dalam syurga itu!' (Yasin: 26)

Maka beliau lalu berkata pula:
 Maksudnya:  'Alangkah baiknya sekiranya kaumku mengetahui, bahawa Tuhanku telah mengampuniku, serta menjadikan diriku tergolong hamba-hambaNya yang dimuliakan.'  (Yasin: 26-27)

   Alangkah bahagianya para kekasih Allah ini. Mereka terus menghabiskan masanya dengan bermunajat kepada Allah siang dan malam, padahal orang-orang lain hampir kesemuanya dalam kelalaian dan tidur tidak sedarkan diri.

   Mereka akan sentiasa bergembira apabila waktu malam datang menggelapi alam sekitarnya, di mana manusia-manusia lain berlumba-lumba untuk bermaksiat dan lena dalam tidur yang nyenyak, padahal mereka terus sedar berdiri tegak mengerjakan solat malam, membaca Al-Quran, berzikir kepada Tuhan Maha Agung, dan bermuanajat terus sampai waktu siang. Apabila datang sinar matahari, mereka terus menangis kerana terpaksa berpisah dengan amal yang sungguh dinikmati oleh jiwa mereka.

   Mereka inilah calon-calon syurga dan para penghuninya yang dijanjikan Allah untuk menikmati segala kenikmatan yang terdapat di dalam syurga itu, yang mana kelak mereka tiada lagi akan merasa takut dan mereka tidak akan berdukacita, sebagaiman yang dinyatakan Al-Quran Al-Karim.

"Ya Allah, dengan sebab keberkahan amalan soleh mereka, berikanlah hambaMu ini pertolongan dan rahmatMu, Amin!"


Dipetik daripada:
Untaian Kisah Para Wali Allah, karangan Syed Ahmad Semait.

1 comment: