Wednesday, December 22, 2010

Khalifah Harun Ar-Rashid Dengan Si Bohlul Gila dan Sa'dun Gila - Abdullah Bin Mahran

Diceritakan daripada Abdullah Bin Mahran r.a.katanya:
Pada salah satu musim haji, Khalifah Harun Ar-Rasyid berangkat dari Baghdad untuk naik haji. Apabila tiba di Kufah, dia berhenti untuk berehat beberapa hari di sana. Sesudah itu, dia berangkat lagi untuk menuju ke Mekah.
Orang ramai keluar di jalan-jalan raya untuk memberikan ‘selamat jalan’ kepada khalifahnya. Diantara yang turut keluar juga ialah Si Bohlul Gila yang bermaksud untuk mengingatkan sesuatu kepada Khalifah Harun Ar-Rasyid itu.
Si Bohlul Gila mahu menarik perhatian rombongan khalifah itu kepada dirinya supaya ia dapat menahan rombongan itu walaupun sebentar sahaja. Maka dia telah memilih tempat pembuangan sampah  sebagai tempat hadangannya terhadap rombongan khalifah itu.
Apabila Si Bohlul Gila itu duduk di tempat pembuangan sampah itu, datang kanak-kanak nakal menngerumuninya dan mengusiknya sambil mentertawakannya. Keadaan di sekitar tempat pembuangan sampah itu menjadi bising, riuh rendah dengan suara kanak-kanak dan tertawaannya.
Apabila tiba sahaja sekedup rombongan khalifah di situ, kanak-kanak itu pun lari bertempiaran. Khalifah Harun Ar-Rasyid yang berada di situ pun hairan mendengar bising suara kanak-kanak yang lari bertempiaran itu. Dia lalu menjenguk ke luar sekedup itu, dan dilihatnya Si Bohlul Gila sedang berada di tengah-tengah sampah dan kotoran di situ. Begitu dia lihat Khalifah Harun Ar-Rasyid, dia pun berteriak sekuat suaranya:
“Wahai Amirul Mu’minin!”
“Beta, hai Bohlul! Apa maksudmu duduk di tempat kotor ini?!” Tanya Khalifah Harun Ar-Rasyid.
“Hai Amirul mu’minin! Cuba dengarkan apa yang akan hamba katakan ini: Telah meriwayat kepada kami Aiman Bin Na’il, daripada Qudamah bin Abdullah Al-Amiri, bahawasanya dia telah berkata: Saya telah melihat Nabi s.a.w di Mina menunggang seekor unta dan di sampingnya seorang laki-laki yang kotor pakaiannya, malah baginda tiada menghalangnya dan tiada memukulnya. Sebenarnya baginda sentiasa merendah diri ketika dalam pelayarannya! Maka hamba nasihatkan tuanku supaya merendah diri ketika tuanku dalam pelayaranmu ini. Ingatlah bahawasanya merendah diri itu adalah lebih baik bagimu daripada mengangkat diri dan bersombong diri!
Mendengar nasihat Si Bohlul Gila itu, Khalifah Harun Ar-Rasyid lalu menangis sehingga membasahi kedua belah pipinya.
“Tambahilah beta dari nasihat-nasihatmu yang baik, wahai Bohlul!” pinta Khalifah Harun Ar-Rasyid lagi.
Si Bohlul Gila lalu merangkaikan syair ini untuknya:
            Katakanlah tuanku memiliki bumi seluruhnya,
            Semua rakyat menundukkan kepala tiada kecualinya
            Tapi tidakkah perut kubur menjadi tempat tinggal akhirnya?!
Orang yang menundukkan kepala sendiri yang akan menimbus tanah ke atasnya!

Khalifah Harun Ar-Rashid terus menangis lagi. Kemudian dia berkata lagi kepada Si Bohlul Gila:
“Terima kasih banyak-banyak atas nasihatmu itu, hai Bohlul”, kata Khalifah Harun Ar-Rasyid.
“Ada lagi yang lain, hai Bohlul?!” pintanya lagi.
“Ada lagi, wahai Amirul Mu’minin!” kata Si Bohlul Gila.
“Seorang laki-laki yang telah diberi Allah kurnia dengan harta kekayaan dan wajah yang cantik, lalu dia membelanjakan hartanya ke jalan Allah, dan dia mensyukuri nikmat kecantikan yang diberikan kepadanya, nescaya Allah akan mencatitkan namanya di dalam diwan (catatan) orang-orang yag baik dan soleh!” Sebenarnya Si Bohlul Gila itu, memaksudkan kata-kata ini kepada Khalifah Harun Ar-Rasyid sendiri.
“Benar itu …. memang benar apa yang kau katakan itu, wahai Bohlul! Terima kasih banyak-banyak,” sahut Khalifah Harun Ar-Rasyid. “Ini ada sedikit hadiah untukmu, hai Bohlul!”
Khalifah Harun Ar-Rasyid menyuruh pengiringnya untuk menyampaikan hadiah itu ke tangan Si Bohlul Gila. Tetapi dia menolaknya sambil berkata:
“Wahai Amirul Mu’minin!” kata Si Bohlul Gila. “ Minta maaf, hamba terpaksa mengembalikan hadiah ini kepada tuannya. Maksud hamba memberi nasihat ini bukan kerana mengharapkan sesuatu balasan daripada tuanku, hanya untuk mengingatkan tunku!” tambah Si Bohlul Gila lagi.
“Tapi, mungkin engkau ada berhutang kepada orang, gunakanlah hadiah ini untuk melunaskannya!” Khalifah Harun Ar-Rasyid memujuknya.
“Wahai Amirul Mu’minin!” balas Si Bohlul Gila lagi. “Hutang tidak boleh diselesaikan dengan hutang (maksudnya hutang budi). Jadi hamba terpaksa mengembalikan hadiah itu juga sebab hutang itu mestilah dibayar dengan hasil titik peluh orang yang berhutang itu sendiri,” tegas si Bohlul lagi.
“Baiklah, si Bohlul! Kalau begitu beritahulah beta, jika engkau ada sesuatu keperluan supaya beta membantumu!” pinta Khalifah Harun Ar-Rasyid semacam meminta-minta kepadanya.
Mendengar ucapan terakhir daripada Khalifah Harun Ar-Rasyid itu, lalu Si Bohlul Gila mengangkatkan kepalanya kearah langit seraya berujar:
“Wahai Amirul Mu’minin!” kata si Bohlul. “Hamba dan tuanku adalah sama dari hamba-hamba Allah. Mustahil Allah Taala akan mengingati tuanku dan melupakan hamba pula.”
Khalifah Harun Ar-Rasyid menyerah kalah, tidak berani mengeluatkan kata-kata lain kepada Si Bohlul Gila itu. Semua hujahnya telah dipatahkan oleh Si Bohlul Gila itu, dan segala rayuan dan pujukannya ditolak mentah-mentah dengan hujah yang bernas. Dia lalu menutup tabir sekedup itu semula dan memerintahkan rombongan supaya bergerak meninggalkan tempat itu.
Selesai mengerjakan haji itu, Khalifah Harun Ar-Rasyid bersumpah akan berjalan kaki apabila tiba musim haji pada tahun hadapan.

Pada tahun yang hadapan, Khalifah Harun Ar-Rasyid mahu menunaikan sumpahnya hendak berjalan kaki ke Mekah untuk menunaikan haji pada tahun itu. Maka diperintahkan supaya membentangkan tikar sutera berganti-gantian dari Baghdad hingga ke tempat yang ditujui.
Setelah merasa penat dan lelah berjalan kaki itu, Khalifah Harun Ar-Rasyid berteduh di bawah beberapa pepohonan yang ada di perjalanan itu. Tiba-tiba muncul dari mana pun entahlah Si Sa’dun Gila. Melihat Khalifah Harun Ar-Rasyid berteduh di pohon itu, Si Sa’dun Gila mendapatkannya seraya memberi salam kepadanya. Lalu Sa’dun Gila merangkaikan pula kata-kata ini untuk ditujukan kepada Khalifah Harun Ar-Rasyid itu:
            Katakanlah dunia ini sering membahagiakanmu
            Tidakkah maut nanti akan menjemputmu?!
            Apa yang hendak dibuat dengan duniamu?
            Secebis tanah ini cukup untuk istirahatmu (yakni sesudah mati)
            Wahai orang yang mengejar dunianya!
            Biarkanlah dunia itu dengan tipudayanya
            Sebagaimana dia menyebabkanmu tertawa
            Dia juga menyebabkanmu menangis juga

Mendengar madah ini, Khalifah Harun Ar-Rasyid menarik suatu nafas panjang, lalu jatuh pengsan tidak sedarkan dirinya lagi. Tiga waktu solat telah berlalu, namun Khalifah Harun Ar-Rasyid masih lagi tidak sedarkan diri.
Apabila dia tersedar dari pengsannya, dia teringat akan Sa’dun Gila itu. Dia meminta agar Sa’dun Gila datang mengadapnya, namun Si Sa’dun telah hilang tidak ada di situ lagi. Ke mana dia pergi, hanya Tuhan saja yang mengetahui.
Demikianlah hidupnya para wali Allah itu. Mereka sentiasa menegur siapa yang mereka temui kerana Allah, tidak merasa takut atau gerun.
Moga-moga Allah merahmati mereka sekalian dan kita juga, Amin!

Dipetik daripada:
Untaian Kisah Para Wali Allah, karangan Syed Ahmad Semait.

No comments:

Post a Comment